
Produksi Hidup
melastik mimpi jatuh ke riba.
Tuesday, December 27, 2011
SONGLAP: LARI DARIPADA TIPIKALITI

Thursday, December 15, 2011
Berbual dengan Pencuri Komputer Riba
Berbual dengan Pencuri Komputer Riba
Terima kasih kerana engkau sudi menyapa aku
Di Pasar Seni siang tadi
Dalam keramaian yang menyesakkan
Engkau tawarkan komputer riba lima belas inci
Separuh daripada harga asalnya.
Wahai pencuri komputer riba
Terima kasih kerana sudi menjadikan kota ini
Habitatmu yang paling selesa
Sekalipun lot kos rendah itu tidaklah semegah mana.
Engkau tidak pernah bersalah
Yang bersalah adalah remaja itu
Yang asyik bercumbu dengan kekasih baharu
Sehingga memberi ruang kepadamu untuk
Mengerjakan kewajipan sebagai ketua keluarga.
Engkau tidak pernah bersalah
Kerana yang bersalah itu adalah para kroni
Yang leka mengadu domba
Kepala yang katanya bermuka-muka
Sehingga memberi ruang kepadamu untuk
Mencari wang belanja untuk sang isteri
Membeli beras dan gula yang tidak tentu harganya.
Pernah seorang pelajar menangis
Dan merayu kepadamu agar komputer riba
Yang entah apa jenamanya itu dipulangkan
Kerana isi memorinya adalah nista-nista
Rakaman yang katanya suka-suka.
Kata pencuri ini,
Komputer-komputer riba yang dicuri
Punya harga untuk sebuah kehidupan
Yang hampir-hampir sahaja tiada harga.
Kota ini dan warganya semuanya sama sepertiku
Tiada seorang pun yang tertinggal daripada menjadi pelaku dosa
Biar Tuhan sahaja yang menghukum
Kerana Dia saja yang paling mengerti.
Katanya lagi.
Setelah kita sudah berbual,
Aku hanya melihat kau berlalu
Dalam ketergesaan, membawa bersama galas beg komputer riba ku!
Azrie Izham Hamzah
15 Disember 2011
Kuala Lumpur
Monday, December 12, 2011
Takdir
Pertembungan di antara manusia dengan manusia berbeda jantina, di suatu tempat, di suatu satu masa yang tepat dan memungkinkan satu kelangsungan terhadap sesuatu berkenaan hati dan perasaan, itu dinamakan takdir.
Thursday, November 03, 2011
Sebelum Kepulangan
Sebelum Kepulangan
(Dari Dewan Orkestra)
Sebelum kalian pulang
Ingin aku dan kami semua
Berterima kasih
Kerana sudi ke mari ke kota ini
Sekalipun kami tidak tahu menahu
Maafkan kami jika tidur kalian di sini
Tidak seempuk lena di Wang Ulu
Sekalipun kami tidak tahu menahu
Maafkan kami sahabatku
Kiranya kudapan yang kami hidangi tidak seberapa mana
Tidak seperti karipap desasiswa yang kami bungkus dan kunyah
Di dalam bas merah jambu
Sekalipun kami tidak tahu menahu
Maafkan kami
Kiranya hawa di sini
Tidak semilir yang di Tanjung Malim
Yang akan terus kami hirup dalam pejam mata imaginari
Terima kasih UniMAP, USM, UPSI
Kerana sudi berkongsi pentas seni
Pentas puisi
Salam kasih
Sayang semua.
Azrey
ASWARA
Mengirim Ucap Selamat Pagi
Mengirim Ucap Selamat Pagi
Selamat pagi ayah
Dari desasiswa yang entah apa namanya ini
Di E-8-17
Di permulaan hari
Tekun aku mengirimkan senandung kerinduan
kepadamu melaluiNya
Ayah,
Entah sudah atau belum
Mama khabarkan kepadamu
Tentang si nakal yang seorang ini
Sudah tiga atau empat hari
Tidak pulang ke rumah
Memang benar, ayah
Rindu ini lain macam benar
Kepingin benar aku untuk berbual denganmu
Di ruang tamu
Seperti yang dulu-dulu
Di sinilah ayah
Di negeri Anak Tanjung ini
Entah sedekad atau dua terkebelakang
Bersaksikan deru ombak persisir
Batu Feringghi
Aku belajar bertatih di pasir-pasir halus
Sambil mencampak baling bola angin
Penuh warna warni
Dipimpin erat jemarimu
Bertatih, terjatuh dan bangun
Bertatih, terjatuh dan bangun
Bertatih, terjatuh dan bangun
Anak ayah kena kuat
Anak ayah kena kuat
Anak ayah kena kuat
Sehingga pagi ini masih terngiang lagi
Hari ini aku kembali
Bersama hati yang sendiri
Berteman delegasi teman-teman pemuisi, ayah
Sekadar mahu aku titipkan khabar ini untuk mungkin
Membuat ayah tersenyum seperti selalu
Kerana aku bawa sama puisi- puisi mu
Penuh sarat mengisi bagasi hati ini
Dan pagi ini aku cerakinkan bersama
Puisi, hati, rasa dan kerinduan padamu
Ayah.
Azrey
29 Oktober
USM