Monday, October 22, 2007

"Yang mana satu Indon abah?" tanya adik kepada abah.

Gambar hiasan. Tidak ada kena mengena dengan Jason Lo mahupun pemain-pemain amatur yang suka melancong ke luar negara kerana semua orang pun boleh terbang.

Satu


Adik duduk sebelah abah. Atas Sofa. Tengok bola di TV3.


10 minit tadi sepak mula.


"Mana lawan mana ni?"
adik tanya. Serius dia tak tahu.

"MyTeam 2 lawan Indonesia," abah jawab.

"MyTeam 2 negara apa abah?" adik tanya beria ia. Lebih serius. Dia memang tak tahu.

"Negara kita jugak lah... Malaysia," abah jawab. Pendek. Sambil menggeleng dua tiga kali melihat seorang pemain amatur menyepak angin.

"Negara apa?" adik tanya lagi.

"Malaysia," ayah jawab sekali.

"Negara apa?" adik tanya sekali lagi.

"Malaysia..." jawab ayah kali kedua.

"Negara apa?" adik tanya.

"Malaysia Mat... Malaysia..." ayah jawab lagi. Konsentrasinya sedikit terencat. Tapi tak apa. Layan saja karenah anak. Kata hatinya.

"Negara apa?" entah kali ke berapa adik tanya lagi.

"Indonesia! Gollll!!!" teriak ayah. Adik terpinga. Pinga.


p/s: Lepas tewas 2-0, Singh sambil tercungap-cungap tepi padang bagi bagitahu media, Singh melabelkan dirinya sebagai 'bapak pengantin' dan telah membuat persiapan untuk kenduri. Tapi, bila tiba hari kenduri, 'pengantin lari.'


Tak berapa nak faham lah Singh. Perumpamaan tu kot yang tak berapa nak kena.


Satu saja.

Saturday, October 13, 2007

Aidil Fitri 1428



Assalamualaikum.
Bagaimana segala aktiviti hari pertama Syawal? Pasti menggembira dan mengujakan bukan? Saya tumpang gembira.

Sudah biasa sangat berinternet di pagi raya. Dari zaman kemaruk Ragnarok Online dulu, sampailah ke hari ini.

Kepada mereka-mereka yang mengirim SMS raya, terima kasih diatas ingatan tulus kalian. Ramai yang hantar sms jawi. Lain kali jangan hantar mesej bertulisan jawi. Saya tak boleh baca. Bukan saya tak reti jawi. Tapi telefon bimbit saya gagal membaca kod kod jawi yang di hantar. Tak apa. Esok lusa saya hantar telefon saya belajar jawi.

Setelah dianalisa, terdapat beberapa mesej popular untuk raya tahun ini. Contohnya kambing ranggi naik lrt, seiring salam seharum ganja dan banyak lagi sms yang mencacatkan nilai dan adab pantun.

Raya mengundang pelbagai rasa dan keceramukkan emosi. Ada gembira, syahdu, sayang, hiba, rindu dan segala macam lagi.

Sekadar berkongsi. Bagi saya, raya sangat-sangat menggamit rindu pada kampung yang entah apa khabarnya sekarang.

Kampung belah mak yang saya maksudkan. Telok Medan, Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan. Tentu ramai antara kamu yang familiar bukan? Kalau tak, tak apa.

Kenapa saya kata saya rindu pada kampung? Rasa saya, sesiapapun warga metropolitan kalau sekali jejak ke tanah merah atau lumpur kampung, pasti satu macam rasa akan tergamit secara automatik.

Suasana kampung saya? Sukar nak digambar dalam nukilan ini. Tapi yang pasti, pejam mata sekali, memang dapat saya bayangkan anjung di bahagian depan menghadap jalan besar, ada ruang tengah, bahagian katil dan bilik nenek (allahyarhamah). Dekat tengah-tengah ada satu meja dan kerusi terletak. Kat situlah jugak telefon rumah terletak.

Bahagian belakang, ada dapur. Dapur masak-masak + meja makan, dan satu pintu kecil menghala ke dapur basah. Tempat siang-siang ikan, basuh pinggan. Sebelah dapur, ada satu lg bilik. Setiap kali balik kampung, selalunya dekat situlah jadi tempat tidur.


Sekadar Gambar Hiasan. Oh ya, ini lah Rumah Perak



Selalunya turun naik ikut tangga tengah (ada 3 tangga, tangga anjung, tangga tengah dan tangga dapur basah).

Ingat lagi. Selalu kalau balik kampung, mesti pasang buai dekat bawah rumah (tali guni diikat pada para atas, disambungkan dengan kayu tempat duduk). Dapat bayangkan tak? Susah nak bagi gambaran sebenarnya. Pejam mata, memang nampak semua.

Kalaulah saya dah mula menulis blog pada waktu itu, pasti saya akan post mengenai segala macam karenah beraya di kampung.

Rasanya, main buai memang jadi kewajipan. Nak saya bandingkan buai dengan PS2? Memang lain nikmat keriangannya. Buai laju-laju, naik ramai-ramai.

Kalau nak mandi, memang kena turun rumah. Bilik air ada dua. Satu tempat mandi, basuh baju. Lagi satu tandas jamban tempat buang sisa toksik. Yang jamban ni senang kot nak bayang kan, macam dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok punya jamban. Tak pun cerita Orang Minyak. Alah, biasa punya jambanlah. Err.

Kawasan rumah besar. Depan tanam pokok-pokok pisang. Dan pokok-pokok lain yang di luar ingatan. Tak ada pagar depan pun. Nak masuk kawasan rumah, kena lalu titi. Titi muat-muat untuk sebijik kereta. Rasanya.

Sebelah kiri rumah, ada klinik kesihatan. Kanan, kilang papan kalau tak silap. Seberang jalan sana ada rumah Zakiah Anas. Kata mak.

Belakang, ada pokok rambutan. Kalau kena musim, memang syok. (Walaupun masa tu tak merasa nikmat rambutan sangat pun).

Semuanya jelas lagi dalam gambaran minda. Ingatan mungkin nanti jadi samar-samar. Bila entah kali terakhir dekat sana. 7 atau 8 tahun yang dah lepas. Rasanya.

Dalam lingkungan usia saya 13 - 14 tahun tu, saya masih ingat. Itulah kali pertama timbul rasa kehilangan seiring mutiara kaca di pipi. Teresak-esak dekat duduk menghadap tingkap dapur kering. Kehilangan nenek. Mak kepada mak.

Sebenarnya, saya pun kurang pasti kenapa saya menangis masa tu. Perasaan apa yang mendominasi diri saya? Saya kurang pasti. Mungkin sebab itu kali pertama saya berperasaan bila lihat mata mak merah berair.

Dan hari ini, saya masih kurang pasti. Adakah saat itu merupakan saat terakhir saya di rumah kampung. Atau belum lagi?

Sebab itu pada perenggan atas-atas tadi saya kata, saya tumpang gembira dengan kamu-kamu yang berpeluang berhari raya di kampung. Jangan persiakan peluang itu ok?

Bersyukur ke hadrat Allah. Alhamdulillah. Allah bagi peluang dan ruang saya untuk nikmat sebuah ikatan kekeluargaan. Saya tak akan lepaskan peluang ini untuk hargai mereka selama masa. Mak, Ayah, Cik Nah, Abg Long, Kak Zatil, Bangah, Kak Ja dan err.. Harith.

Ingat, keluarga datang dahulu. (Family comes first). Sementara masih bujang (saya single), utamakan tanggungjawab yang utama.

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada para blogger di dalam bulatan, pembaca senyap yang bila entahnya hendak berbunyi dan kamu semua.

Maaf saya pohon. Maaf saya beri.

Wassalam.

p/s: Insya Allah kalau berkesempatan akan pergi melawat rumah kampung dan kubur arwah atok & nenek.

*Untuk semua warga Perak, nantikan kehadiran saya pada 26 Oktober 2007. Jangan lepaskan peluang keemasan untuk beramah mesra bersama saya ok?

Friday, October 12, 2007

Hujan dan Payung

Lanjutan entri Gerimis Yang Terlalu Halus.



Payung (Malay Version Of Umbrella)

Kau di hati
Walau jauh kita berada
Merentasi benua
Sinarmu menyala
Dan di dalam kelam
Bayangmu tidak kelihatan
Bila ku kau perlu
Kau tahu ku di mana

Kerna
Biar kita bersinar bersama
Seiring sejalan selamanya
Sahabat berkekalan
Kini ku memberi sokongan

Dan hujan turun semakin lebat
Usahlah kau risau sendiri
Berteduh di bawah payung kita

Berteduh di bawah payung kita
Di bawah payung kita

Takkan ada yang memberi halangan
Kau sebahagian entiti
Kini hingga ke infiniti

Bila kacau bilau dunia
Awan tetap berarak hiba
Selagi ku mampu
Kita ubati hati mu

Berlarilah kemari
Tak perlu engkau risau
Usah gusar

Tiada apa yang menghalang
Tiada hujan turun
Kita redah bersama

Oh hujan
Biarlah hujan
Kita redah bersama

Gerimis Yang Terlalu Halus.

Gerimis terlalu halus rasanya.

Ikutkan hati lelaki, mahu saja dia redah terus ke seberang sana. Ke dalam kompleks. Selamat. Sebelum hujan turun lebih lebat lagi.

Tapi dia turutkan juga kehendak gadis itu. Takut kena hujan. Atau gerimis.

"Tak bawak payung?" tanya dia.

"Tak. Ingatkan tak hujan" jawab gadis itu.

"Jom redah je la?" tambahnya, "Gerimis je ni"

"Tak nak lah. Nanti basah" gadis itu beri alasan kewanitaan.

"Alah... basah sikit je. Macam mana nak kahwin ni. Takut basah?" ada seloroh nakal dalam pujukan. (Dialog lulus tapisan tanpa potongan)

"Isk awak ni. Apa kena mengena dengan kahwin pulak" gadis itu lurus. Atau berpura-pura lurus.

Gerimis halus itu di redah. Berjaya mereka tempuh. Sampai ke destinasi. Ke dalam kompleks.

Sekejap lagi pasti ribut petir datang memperkosa rasa para pejalan kaki di kota itu. Tukang kasut di kaki lima itu turut terima tempiasnya.

Dia dan gadis itu masih di dalam kompleks.

Ribut atau apa cuaca di luar sana bisu dan pekak bagi mereka. Mereka hanya mendengar dalam dunia mereka. Berdua. Melihat pun dalam dimensi yang dicipta mereka.

Dinding kompleks cukup kebal menahan pukul angin dan dentum guruh kilat sabung menyabung.

Sekejap lagi mereka tetap perlu menghadapinya.

Atau perlu dia dan gadis itu berteduh dulu. Tunggu langit kembali bergerimis halus?

Wednesday, October 10, 2007

Angkasawan Ceria Di Angkasaraya

Assalamulaikum.

Apa khabar semua? Bagaimana dengan berat badan terkini anda? Terdapat sebarang peningkatan yang memberangsangkan? Tahniah.
Entri kali ini sebenarnya sudah dinanti-nantikan oleh saya sendiri sejak awal semester bulan Julai dulu lagi. Kini genap sudah satu semester lagi tersempurna. Alhamdulillah.
Semalam detik tamatnya exam Law Of Communication menjadi garisan penamat semester. Fuh lega... bak kata Wewe.
Berikut merupakan rangkuman projek-projek menarik (taklah menarik sgt pun) sepanjang semester.

MEDIA RESEARCH
Satu subjek major yang perlu saya tempuhi dengan tabah sepanjang semester.

Mula-mula memang agak menggerunkan setiap umat manusia. Lama kelamaan jadi menarik pula. Dengan subjek ini, saya tahu menggunakan prosedur-prosedur research sebenar dari mengformulasi topik penyelidikan, sorotan literatur, menentukan metodologi, sampeling & population sehinggalah ke peringkat kesimpulan dan cadangan.

Wargh... macam baca skrip lah pulak.
Topik penyelidikan kumpulan kami fokuskan kepada isu penggunaan internet bagi tujuan akademik di kalangan pelajar. Asalnya, kajian kes ditetapkan di Kolej Multimedia. Atas nasihat, saranan dan tunjuk ajar pensyarah, institusi media tempat kami belajar dijadikan lokasi kajian.
Bercerita tentang internet/ teknologi dan institusi media ini, memang kemudahan tu ada. Tapi ke'ada'annya cukup-cukuplah mengecewakan. Kalau member-member dari luar tanya tentang fasiliti teknologi maklumat (ICT) di sini, wah. Tak tahu nak jawab apa.
Walaubagaimanapun, terima kasihlah kepada Bahagian IT yang tidak meng'block' Myspace bagi kemudahan kami membuat 'tugasan akademik'.
Belum cerita tentang hardware, software yang amat 'gempak' dan 'advance'. Tak nak cerita pun. Bersyukur saje lah dengan apa yang ada.

Sekurang-kurangnya, research yang kami buat dapatlah jugak dilanjutkan ke pihak atasan. Mungkin sekadar diletakkan di atas meja mereka. Oh, ataupun di bawah meja.


Notis wajib setiap bulan. Oh, pertikaikan aspek grammar dalam notis di atas.

NAZA

Ini pula berkaitan projek akhir subjek Corporate Communication. Subjek ini asalnya agak membosankan jugak. Ya. Tapi macam biasalah, lama kelamaan bila dah tahu mengaplikasi, jadilah subjek ini bertambah seronok sedikit. Projek akhir bagi subjek ini memerlukan saya bersama kumpulan pilih salah satu syarikat korporat dan pergi research tentang Media Relation syarikat tersebut.

Dalam proposal kami letakkan CIMB Group dengan Naza Group Of Companies. Akhirnya, Naza diterima. Maka sama-samalah kita berNaza.

Appointment kami jatuh pada hari sabtu. 15 September. Lebih menggembirakan, jatuh pada bulan puasa. Baru sehari atau dua hari start puasa. Maka, takdelah sesi makan-makan minum-minum yang amat mengujakan.

Terima kasih kepada Encik Halimi yang sudi melayan karenah manja kami sekumpulan ya. Oh, Encik Halimi pun baca blog jugak ke?


Dari belakang ke depan (clockwise): Nurul, Elle, Zai, Fared, Encik Halimi, Helmy

Tiada dalam gambar: Erm, siapa ya agak-agaknya?





Saya tak nak sebenarnya kereta ni. Tapi dah bagi tu ambik je la.

MARIGOLD SCOOPY
Hah. Ni antara yang paling best. Projek akhir subjek Publicity & Sales Promo. Kelas- kelas untuk subjek ni, petang-petang belaka. Habis pun paling awal pukul 7. Tapi tak kisah pun.

Task untuk projek akhir ni tak dapat awal-awal. Plan pun last minute. Tapi agak teruja jugaklah dengan projek ni. Pilih satu produk, tak kisah produk baru ke, produk baru dalam garisan ke (new-to-the-line) atau apa apa saje. Yang penting aplikasikan Integrated Marketing Comm Tools yang telah dipelajari sepanjang petang-petang yang indah.

Bermula dengan membahagi kegilaan kuasa kepada setiap groupmate. Saya ditempatkan dalam Advertising Team bersama Hanie. Eh2. Apa sengeh2? Ni hani lain ok? (Maaf, tibe2 je)


Ada tiga team semuanya. Lagi dua team. Public Relation Team dan Sales & Promo Team.

Oh ya, konon-kononnya wujud juga satu team yang digelar Creative Team. Saya dengan Elle jadi warganegara team ni. Design-design punya kerja.

Masuk peringkat Brain Storm, macam-macam idea keluar untuk dijadikan produk. Sampai tak terkeluar idea. Akhirnya, terkeluarlah nama Marigold Scoopy.

Marigold Scoopy ni ais krim tau. Ada empat perisa. Rambutan, Betik, Tembikai dan Belimbing. Sasaran kepada seisi keluarga.

Kemuncak projek ni mestilah masa time waktu presentation. Presentation depan 'investor' iaitu panel luar yang pensyarah jemput.

2 jam lebih jugak lah kena bamboo dengan 'para pelabur'. Banyak kena bantai bab flavour. Kenapa pilih empat buah tu? Berani ke orang nak cuba? Kenapa tak letak favourite flavour (vanilla, choc, strawberry dll) as a main flavour? Wah...

Eh, korang nak makan ke ais krim perisa rambutan, betik, tembikai belimbing? Hah korang?

Last-last, sorang pelabur nak invest sebab beliau suka Peel Fresh. Erk. Lagi sorang tidak mahu kerana tak yakin dengan pasaran. Alhamdulillah.





Logo Marigold Scoopy






Marigold Scoopy Ads (Pre-launch)











Brochure




Poster


Begitulah hendaknya kisah projek-projek bagi semester ini. Lagi satu subjek, Law Of Comm tak ada projek. Jawab periksa saje. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Ada masalah sikit-sikit tu biasalah kan?

Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan 'penggambaran' bagi semester ini sehingga ter'sahur gajah' mahupun ter'over stressed'. Semester depan Insya Allah jumpa lagi.

Maaf andaikata ada salah silap sepanjang melalui semester ini ya rakan-rakan?

Oh, kredit saya berikan kepada Nik yang sentiasa setia bersama saya. Gambar-gambar di atas (gambar hidup) di taja oleh Nik dan rakan-rakan lwn Pendakwaraya. Erk.

Bai. Esok luse ucapan raye pulak

disclaimer: logo, poster dan lain-lain berkaitan Marigold dan Marigold Scoopy direka bagi tujuan tugasan bersifat akademik. Tidak ada perkaitan sama sekali dengan syarikat pengeluar Marigold. Aktiviti copy and paste, re-publish atau perkara-perkara yang sewaktu dengannya hendaklah dimaklumkan kepada azrieizham terlebih dahulu dan dinyatakan sumber (azrieizham) bahan tersebut. Ini adalah bagi mengelakkan pertumpahan darah yang mungkin membebankan semua pihak. Terima Kasih.

Thursday, October 04, 2007

Jangan makan terlalu banyak cili api kicap pada waktu sahur.

Assalamualaikum.



Alhamdulillah. Bertemu lagi kita di arena ini.

Bagaimana dengan persiapan hari raya?
Kuih dah beli?
Baju raya berapa pasang?
Raya balik kampung?
Main mercun tak?

Eh. Eh. Maaf. Saya tersalin soalan-soalan yang terkandung di dalam kad raya tulisan kanak-kanak pulak. Kecik-kecik dah pandai melaksanakan prosedur questionnaire kepada rakan sebaya. Bagus.

Tapi itu kad raya kanak-kanak era 90an. Sekarang kanak-kanak pada hemat saya, turut sama memeriahkan industri SMS tanah air. Tunggu saja malam raya. Inbox akan penuh secara automatik.

Oh ya, bercakap mengenai automatik, saya baru selesai menduduki dua kertas peperiksaan akhir setakat ini. (apa perkaitan peperiksaan akhir dengan automatik?)

Alhamdulillah. Setakat ini segalanya berjalan lancar. Kertas yang paling saya geruni. Media Research pun sudah selesai. Semalam.

Semalam, merupakan hari ini dalam sejarah bagi saya. Buat kesekian kali, kalkulator jenama casio dipegang lagi oleh tangan-tangan Numerophobia ini.

Walaupun tanpa formula panjang berjela, tapi cukuplah dengan memberikan saya nombor dan kalkulator... Warghh. (Harapnya, tiada pensyarah yang membaca posting saya ini)

Fuh. Serius. Berpinar-pinar mata dengan simbol peratus (%) dan segala macam nombor.
Alhamdulillah. Segalanya lancar. Cuma sehingga kini masih terasa impaknya. Sakit kepala.

Memang jarang saya membuat proses matematikal sejak tamat kertas Add Math masa SPM dulu. Kalau ada pun, saya mengira-ngira berapa hari lagi nak raya.


Pasti ada mereka-mereka yang tersenyum sinis dengan kenyataan saya ini. Ya. Saya akui. Saya tidaklah sehandal anda-anda semua dalam konteks berhadapan dengan nombor-nombor. Sudah fitrah. Tidak dapat disanggah.

Namun demikian, saya hadapinya dengan senyuman. Ya. Memang gila menekan kalkulator sambil tersenyum manis di dewan peperiksaan.

Tinggal lagi dua kertas untuk di jawab. Minggu hadapan. Kemudian, berayalah kita.

Sebagai penutup, pengajaran yang wajar di ambil dari kisah ini, lakukanlah senaman tangan dengan kerap terlebih dahulu sebelum menjawab soalan esei yang panjang lebar. Ini adalah bagi mengelakkan tangan anda degil untuk menulis. Sekaligus, tangan pemeriksa degil untuk menanda.

disclaimer: gambar diatas sekadar hiasan yang merangkumkan unsur Numerophobia dan unsur sakit perut kerana rakus memakan cili api kicap pada waktu sahur.

Sekian.