Wednesday, November 28, 2007

Perkembangan Terbaru MIIM

Assalamualaikum.

Sedikit perkembangan mengenai MIIM.

Rangkulan perjumpaan di Grand Ballroom, Hotel De Palma Ampang semalam:

  1. Pelajar-pelajar sesi 052005 akan meneruskan latihan industri seperti biasa. Majlis konvokesyen dijangka (err... atau dijamin) diadakan pada March 2008.

  2. Pelajar-pelajar sesi 102005 (semester akhir) meneruskan sesi pengajian di Institut SAL, Leboh Pudu depan Mydin.

  3. Dan semester-semester lain (1-6) dilanjutkan cuti sehingga 14 Februari 2008 bagi memberi ruang kepada kerja-kerja ubahsuai premis baru yang terletak di Taman Melawati.

  4. Kementerian+Badan Bertindak akan terus bekerjasama memantau pengurusan MIIM. Khususnya kerja-kerja ubahsuai di premis baru.

Tahniah dan terima kasih kepada ibu bapa yang datang semalam. Ramai gila. Macam mesyuarat PIBG sekolah... err. Mesyuarat PIBG pun tak seramai ni rasanya.

Insya Allah. Segala-galanya akan berjalan lancar.

Semalam terbaca bulletin seorang daripada kamu-kamu hantar. Dia kata dia bosan cuti. Dia kata pelajar-pelajar diberi cuti sebab terdapat masalah yang tak dapat diselesaikan. Dia kata lagi, menyesal masuk institusi ini.

Wah. Kalau dia kursus Kewartanan Integratif, sekurang-kurangnya dia patut kenal ketepatan maklumat. Paling tidak, tahu kenapa lanjutan cuti diberi. Mungkin semasa penerangan tentang cuti tersebut, dia asyik makan kuih sejuk di ruang luar Grand Ballroom. Atau teruja nak pergi Ampang Point sebelum waktu makan tengahari.

Apa-apa pun, tunggu dan lihat.

Selamat Bercuti. Lagi. Nah.

Gambar premis baru. Insya Allah.



Sunday, November 25, 2007

Updated. Silakan

Assalamualaikum.

Saya telah di tinggalkan terkontang-kanting kerana tidak mengikut si kakak saya ke Pulau Langkawi yang terkenal dengan. Err. Dengan apa ya?

Semoga selamat pergi dan kembali bersama cenderahati.

Oh. Silakan.

Friday, November 23, 2007

Save MIIM.

Assalamualaikum.

Maaf menggangu. Sedikit maklumat. Sedikit pemberitahuan.

Salam Sejahtera.

Satu perjumpaan rasmi antara pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Pengurusan MIIM, Pelajar serta ibubapa akan diadakan.

Perjumpaan ini akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 27 November 2007 (Selasa)
Masa: 9.30 pg
Tempat: Function Hall, MIIM (Sri Asad) Hotel De Palma, Ampang.


Datang. Jangan main Myspace saja.
Datang. Jangan pergi KLCC saja.
Datang. Jangan pandai bangkit spekulasi saja.
Datang. Jangan tak datang.


Mungkin buat kali terakhir.


Sebelum ke rumah baru. Nanti.

So, apa kata korang???

Saturday, November 17, 2007

Nik Lagi.


Assalamualaikum.

Apa khabar? Diharap kamu-kamu kenyang makan Double Spicy Chicken Mc Deluxe bersama air berkarbonat yang di re fill lima atau enam kali sehingga manager (yang pada awalnya tersenyum ceria "Selamat Datang Ke MCD!") bertukar dengan jelingan keras ketika mengambil cawan kertas bersaiz large dari tangan yang sama buat kali keempat. (Maaf jika terlalu rumit untuk difahami, kamu-kamu semua akan faham jika mencubanya sendiri)

Malas panjangkan dua isu di bawah. Tunggu dan lihat sahaja kesudahannya. Mudah-mudahan kesudahan yang indah.

Apa khabar agaknya Nik saya?

Setakat setelah hampir 4 bulan bersama, beberapa item telah ditambah sesuka hati:

UV Filter

D35 AF N Flash Gun (Cap Ayam)



Battery Grip (Rare item, made in China) - Beli di YL Camera Services, Plaza Pudu

Dan terpaksa beli beg besar sikit untuk ni sebab soft bag yang dapat free tak cukup besar (dengan penambahan battery grip). Tapi tak beli lagi.

Fuh.

Memang betul kata pepatah orang dulu-dulu. Pepatah hikmah sejak zaman Mahmud Melaka;

"What an annoyingly expensive hobby!"

Terima kasih kepada penyumbang dana dan tidak lupa juga kepada kad ATM yang setia dicucuk cucuk dengan rakusnya.

Oh, gambar terbaru dari Putrajaya untuk tatapan kamu-kamu semua,


Sekian buat masa ini. Saya rasa entri ini paling banyak gambar berbanding 133 entri yang lepas. Maaf. Saya tidak ada gambar 'hangout wif ma fwenz' untuk ditayang. Mungkin kamu-kamu semua boleh melayari laman blog mereka-mereka yang sedang bercuti (sekolah) untuk mendapatkan gambar-gambar tersebut yang lebih cantik (dan mengujakan).

Wednesday, November 14, 2007

Sita MIIM: Kisah Benar Tentang Anak Bangsa 2


Assalamualaikum.

Sejahtera kepada kamu semua. Juga kepada kamu-kamu yang baru terserempak dengan blog ini.

Nak kata genap tu, lebih kuranglah. Petang ini. Waktu ini. Seminggu yang lalu kolej saya dan kami semua kena sita.

Seminggu sudah. Lagi seminggu masa diperuntuk kepada kami-kami khususnya para pelajar untuk berehat. Atau untuk bersabar.

Badan Bertindak.

Badan Bertindak secara rasminya telah tertubuh. Kami semua sudah sedia maklum mengenainya. Atau yang masih samar-samar, mari saya maklumkan.

Badan Bertindak ini dianggotai oleh beberapa kumpulan yang berkait rapat dengan MIIM diantaranya termasuklah staff MIIM, wakil pelajar dan wakil dari pihak ibu bapa.

Secara rasminya (pada Jumaat 9 November yang lalu) Badan Bertindak ini tertubuh mewakili suara warga MIIM, khususnya para pelajar. Badan Bertindak ini adalah berperanan sebagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk bertindak secara rasmi dan tidak membelakangi undang-undang.

Surat pemberitahuan juga telah disalurkan (pada Isnin 12 November) kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi umumnya dan khususnya kepada Pejabat Pengarah JPS, Pejabat Pengarah Pengurusan IPT dan Pejabat Menteri Kementerian Pengajian Tinggi.

Pemberitahuan tersebut memaklumkan tentang penubuhan Badan Bertindak yang mewakili warga MIIM dalam menangani isu penyitaan premis dan skandal pengurusan Kumpulan SAL. Tuntasnya, Badan Bertindak ini membawa suara rasmi untuk mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Sabar.

Jadi apa yang layak untuk diwajarkan oleh saya dan kami-kami semua buat masa ini, bersabar.

Sabar.

Ah. Saya pun pasti ada segelintir (termasuk saya) adakalanya muak dan jemu mendengar karenah birokrasi (dan permainan politik dalaman) yang (mungkin) wujud dalam suasana urusan sektor awam (Kementerian Pengajian Tinggi khususnya).

Bukan niat menujah kredebiliti dan professionalism mana-mana pihak yang sewajarnya bertanggungjawab terhadap isu ini, namun hujah mentah saya ini berpaksikan pada realiti.

Bukan realiti TV tetapi realiti dari persepsi kacamata sendiri.

Gambarkan situasi ini;

Isu diringkaskan untuk kefahaman mak dan ayah di kampung. Err... ataupun di Hartamas.

"Kolej kena sita, cuti dua minggu"

Kalau-kalau lepas dua minggu mak dan ayah datang bersama si anak, tengok keadaan masih serupa dua minggu lepas?

Ekspresi ringkas untuk diceritakan kepada rakan-rakan bukan sekolej,

"Botak tokei SAL tu memang *&^$#@..." (dan seterusnya)

Seperti dua yang di atas, saya memberi contoh terhadap bahasa ringkas menghuraikan isu dan eskpresi.

Ringkas.

Tapi mampukah isu sekompleks ini mencapai resolusi melalui hitam putih atau sekadar memaksa pekik dan hiruk-pikuk darah-darah muda yang minta dibela?

Sabar.

Sekali lagi saya bisik pada diri sendiri. Dan saranan pada rakan-rakan.

Memang benar. Sabar penuh dengan hikmahnya.
Ah. Cakap pandai. Dah jadi semacam ini pun nak sabar ke?


Ya. Sabar.

Banyak benar pendapat yang saya dengar sebagai menangani isu dan permasalahan ini. Macam-macam. Sampai tak terbilang. Ada pendapat kotor. Ada yang BERSIH.

Dalam mengiakan sabar yang saya sarankan kepada rakan-rakan, di sini beberapa huraian untuk ditenung renung bersama:

  1. Mulut. Jangan melampaui kata-kata kita dengan perkataan yang kesat. Tak sesekali termaktub dalam kepercayaan, kata-kata kesat menambah keberkatan usaha ke arah resolusi.

  2. Tindakan. Ada yang ajak buat mogok di Kementerian Pengajian Tinggi, di sana dan di sini. Tindakan itu memang wajar kearah menuntut hak dan perhatian mereka-mereka yang di atas. Tapi mungkin tindakan itu adalah langkah terakhir setelah 2 minggu (atau lebih kurang) buntu tanpa resolusi. Senang kata, beri peluang Badan Bertindak bertindak mencari resolusi.

  3. Rohani. Oh. Bukan Puan Rohani. Erk. Sabar rohani ni penting. Memupuk kita untuk mengawal segenap anggota tubuh termasuk akal rasional kita. Daripada mencarut atau memaki hamun Si Botak individu lain, apa salahnya kalau kita duduk menghadap kiblat mengadu kepadaNya. Jangan mengadu kepada Biro Pendidikan UMNO je, Allah sebaik-baik tempat mengadu. Kita tergolong dalam kalangan mereka yang teraniaya. Doa senjata utama. Bukan emosi atau maki hamun ok?

Pernah dengar tak kata-kata dari Saidina Ali,

Kemarahan orang berakal dilihat pada tindak tanduknya, kemarahan orang jahil dapat dilihat melalui perkataannya.

Sebagai tuntas kepada hujah mentah saya kali ini, sekali lagi saya ulang dan ulang perkataan ini.

Sabar.

Mana-mana yang salah, mohon betulkan.

p/s: Err.. gambar hiasan!

Saturday, November 10, 2007

Sita MIIM: Kisah Benar Tentang Anak Bangsa 1

Assalamualaikum.

Apa khabar semua?

Rindu rasanya kepada kamu (blog) dan kamu-kamu semua yang setia menjengah.

Rasanya kamu-kamu semua tahu atau tahu sedikit tentang perkembangan saya. Kalau tidak saya maklumkan, mungkin menerusi siaran media tertentu kamu-kamu semua boleh mentafsir situasi saya sekarang.

Memang mimpi ngeri. Lebih mengerikan, mimpi ngeri ini didatangkan kepada saya dan kami semua dalam pada kami masih terjaga. Tepuk tampar pipi beberapa kali, memang ini realiti. Satu lagi dugaan Tuhan yang pastinya menguji kami.

Saat saya mendapat kepastian bahawa premis kolej disita (saya yang berada di dalam premis ketika itu) seakan setengah mati. Satu nafas saya untuk seribu keruntuhan hati. Mana mungkin saya menidakkan air mata jika melihat mereka-mereka yang selalu bergelak ketawa, bermerah mata teresak-esak menahan hiba.

Petang itu ( 7 November) air mata jadi perkara biasa menemani 'perkabungan' ini. Cuba mengawal naluri kelakian untuk berkata tidak pada tangisan, tapi tidak terdaya.

Banyak yang saya bayangkan ketika itu. Detik saya memberitahu ayah dan mak untuk bertukar haluan pelajaran ke kolej ini, reaksi mak dan ayah andaikata saya memaklumkan penyitaan premis ini, ke mana saya selepas ini? Bagaimana saya harus berdepan dengan kamu-kamu semua?

Ah. Memang banyak. Lantas saya halau bayangan itu sebaik ada beberapa tangan menepuk pujuk bahu saya yang dua ini. Ketika itu, satu perkataan yang jelas dalam deria, kuat. Kuat. Kuat.

Saya habiskan sesi saya bersama emosi dan pengaduan kepadaNya semalaman. Keesokan harinya (8 November) saya bangkit dengan dengan sedikit kemurungan. Saya jadi batu. Malu. Dan segala macam persepsi songsang yang saya fikirkan. Tapi pagi itu saya bangkit bersama doa dan harapan.

Cukup cerita tentang emosi.

Dan saya pasti, pada baris ini masih ramai antara kamu-kamu yang kurang jelas dengan situasi.

Kolej saya, diurus tadbir oleh laki bini yang berniaga. Luar pengetahuan saya dan kami semua, premis pengajian sudah 1 tahun tidak dibayar sewa. Angka setengah juta yang tertunggak tambah merunsingkan. Timbul banyak tanda tanya yang kamu-kamu juga bisa wujudkan sendiri.

Disita selama dua minggu satu hal, yang jadi macam-macam hal, kami seakan digantung tak bertali. Ke mana pergi laki bini dan tali barut pengurusan yang harus bertanggungjawab kepada kami warga sebuah kolej yang entiti dan reputasi merudum dek situasi ini?

Mereka hilang tanpa penjelasan. Satu penjelasan yang benar-benar menyakinkan kami di pihak pelajar, ibu bapa dan warga kolej.

Hal ini telah lanjut kepada beberapa telinga yang wajar sekali mendengar. Juga lanjut kepada telinga-telinga media yang menjadi agen penyampai.

Timbul dan timbul lagi persoalan di benak mentah saya. Dalam pada entah berapa juta warga UMNO yang bersidang memekikkan nama 'anak bangsa' dan segala macam jeritan serupa dengan nada 'anak bangsa', adakah nasib kami akan dibela? Bila?

Sidang media (PC) berkenaan pengaduan kami di Bangunan UMNO sesak. Entah berapa ramai Broadcast Journalist yang menemuramah di sana sini saya pun tak pasti.

Dari Bernama News jam 7.30 sampailah Nightline jam 12. Hampa. Sekilas liputan pun tidak disiarkan.

Yang ada, dalam akhbar keesokan harinya (9 November) itu pun sekadar mengisi ruang letak kolum agaknya.

Aduh editor, kalau berita tentang pertunangan, perkahwinan Erra digembar-gembur sampai berbulan-bulan, cerita rogol dan bunuh sampai terletak dalam satu ruangan (Jenayah), ke mana pergi liputan tentang nasib anak bangsa (kami) yang teraniaya? Sekadar layak untuk dikilas pandang sebelum akhbar dilipat dan disimpan?

Kalau 'seorang' budak perempuan setengah mati dibela nasib dan kesihatannya di ruang hadapan akhbar, bagaimana pula dengan nasib 700 pelajar setengah mati tempat bergantung penyelesaian untuk masa depan mereka?

Ah biarlah... Media bukan saya yang punya. Siapa punya? Kamu jawab sendiri.
(Sambil menjeling ke akhbar utusan. Ada gambar Pak Lah)

Banyak lagi yang hendak dicoretkan. Tapi buat masa ini, biarlah sampai di sini. Takut-takut kalau terdedah lebih-lebih, jadi cerita lain pula.

Terima kasih kepada semua. Mak, ayah yang sangat-sangat memahami. Keluarga, rakan-rakan hidup, rakan-rakan siber, rakan-rakan kolej semuanya, jangan sekali-sekali toleh ke belakang kalau sudah selangkah ke depan. Jangan beralih arah.

Entiti kita masih wujud. Produk kita masih utuh. Kualitinya ke Al Jazeera. Cuma pengurusan yang seakan setimbun sampah.
Sangat-sangat memerlukan sokongan dari kamu-kamu semua. Ya. Kamu.

Doa dan harapan.






nota: buat masa ini, pihak Jawatankuasa Tindakan masih dalam proses melaksanakan memorandum untuk diserahkan kepada pihak-pihak berkenaan.

Thursday, November 01, 2007

Tahniah kepada Key Looi

Gambar hiasan. Ya. Hiasan. Tiada huraian. Eh ada. Saya yang ambil. Sebelum abang payung terjun terjelepuk atas tanah.

Assalamualaikum.

Tidaklah sesibuk Lebuhraya Persekutuan mahupun ruang udara Heathrow. Hanya lapangan masa tidak selapang Lapang Sasar Menembak Pokok Sena.

Ghairah meneroka ruang Candid Syndrome yang tidak seberapa besarnya. Tetapi perkongsian ilmu lebih bermakna daripada berkongsi selimut dengan rakan sejantina.

Juga leka membelai 'Nik' yang dahagakan kelancaran cahaya. SB 600, Nissin atau Yin Yang cap ayam? Nanti kita tanya MARA. Hood cantik jangan dilupa.

Kaki tidak melangkah panjang cuti ini. Sekadar beberapa tapak ke Ipoh dan beberapa langkah lagi ke Taiping. Tidak berpeluang lagi ke Tanah Merah... erk. Tak apa... kita tunggu musim buah datang lagi nanti. Pasti lebih manis.

Tapak-tapak biasa? KLCC yang dikerumuni adik-adik dan abang-abang besar baju polo berjalur vertical.

Oh ya, seperti biasa. Se-semester sekali, pasti ada ini. Rupanya terkadang lain.

Yang ini, pagi tadi:

Corp Comm: 4.00 A+
Law Comm: 4.00 A+
Media Research: 3.67 A-
Publicity & Sales Promo: 3.33 B+

GPA: 3.78
CGPA: 3.68
Alhamdulillah. Syukur.
Terima Kasih. Semua.

Up sikit dari yang lepas.

Insya Allah akan lebih baik. Dan kamu juga.
Semoga berjaya dalam ujan air kencing, ujian HIV, Penilaian Tahap Kecekapan, SPM, STPM dan segala jenis Peperiksaan Akhir. Akhirkan usaha anda seperti mana anda berusaha mengakhiri zaman bujang anda.