Thursday, September 17, 2009

Baju Melayu Biru


“Aku nak tanya kau satu soalan, tapi kau jangan ambil hati sangat,” bicara Az kepada aku yang ketika itu sedang menyemai benih di Farmville.

“Hah? Apa dia?” Ujarku kembali. Sambil tersemai benih raspberry yang hasilnya cepat mati. Nak semai padi sebenarnya.

“Apa perasaan kau nak sambut raya tanpa orang tersayang ni eh? Aku dah lama dah rasa, sampaikan sekarang dah tak ada rasa apa,”

“Oh, ingatkan apa tadi,” aku taip yang itu dulu sambil mengetap bibir, aku tarikan jemari di atas papan kekunci tanpa menekan sebutir pun.

***


Aku masih ingat, tahun lepas, tema baju raya adalah warna biru (mestilah ingat, kan baru tahun lepas).

Tidak silap ingatan, malam itu pulang dari berbuka puasa di sebuah hotel ternama di Jalan Ampang bersama seisi keluarga. Tidak silap ingatan juga, itulah kali pertama kami seisi keluarga berbuka puasa bersama di luar.

Dalam kepenuhan dan kekenyangan aku akur dengan suruhan ayah, menyarungkan baju Melayu biru untuk berhari raya selang sehari dua lagi. Ayah nak tolong potong kaki seluar atau betulkan apa-apa yang patut.

Baju biru aku tahun sudah tak ada butang. Pakai butang cina. Eh, ke apa nama butang tu entah?

Lantas, aku sarungkan seragam biru baju melayu itu. Kembang, tak ‘fit’ dan menggelebeh. Hati aku sudah membebel memaki tukang jahit yang entah siapa.

Aku gegas ke hadapan televisyen. Di situ ayah sedang menggosok songkok.

“Menggelebehlah ayah, kembang semacam baju ni. Kain pun renyuk-renyuk,”

Ayah diam. Bukan tanda setuju. Tapi rupanya mata ayah tengah khusyu’ tengok siaran di televisyen.

Aku ulang ‘rengekan’ ketidakpuashatian aku.

Ayah kemudian menawarkan aku untuk mencuba baju melayunya. Biru. Tapi kain licin yang lain.

“Pakai je la ayah punya nak? Ayah ada lagi baju colour biru yang lain.”

Fikir dua kali, “ Eh, tak apalah. Takkan ayah nak pakai baju lama pula, baju yang ni pun ok. Kembang pun ok je”

Dalam hati kata mahu, tapi tak sampai hati pula. Biarlah. Sarung saja apa yang ada.

Ayah tawarkan lagi untuk aku pakai baju melayunya yang sedia tergantung di ruang menggosok. (Ruang menggosok?).

Aku menolak mesra.

“Tak apa, tahun depan kita pergi sama-sama tailor tu. Ukur kat sana,” ayah seolah mendengar jelas apa yang aku ujari di dalam hati.

Orang tailor buat baju guna baju melayu sample. Busy dengan persiapan event lepas raya. Tak sempat nak ikut pergi tailor.

“Tahun depan nak tema colour?” Tanya ayah.

***


BUZZ!

Terbawa aku kembali ke realiti.

Bergegar seketika skrin yang aku renung kosong dari tadi. Az mengulang hantar apa yang ditaipnya.

Aku cuma diam. Sambil menoleh almari baju yang ternganga. Disitu tergantung Baju Melayu Biru dan akan terus di situ.

4 comments:

iLLy said...

sayu entri ni

Anonymous said...

walau ape pown..hidup mesti di teruskan..i know u r strong..juz be strong to be stronger..

Dyana/Nadia/Dai/dizzy said...

dik e....

Dyana/Nadia/Dai/dizzy said...

dik e....