Sunday, July 29, 2012

Membalas Budi Para Pemimpin


Membalas Budi Para Pemimpin

Ke hadapan para pemimpinku yang selalu di hati
Kami adalah anak-anak marhaen yang dahaga
Serta kemarau akan janji janji
Untuk nasib kami dibela
Suara kami didengar
Berat beban kami sama dipikul
Ringan nafas sama dijinjing
Malam sama diterangi
Untuk siang kami bernaung
Menangkis terik mentari .

Katamu, Sang Pemimpin
Janji ini telah ditepati
Setiap nikmat harus disyukuri
Dalam doa, dalam lagu
Janji itu harus kami ingati.

Terima kasih kerana menabur janji
Bersama isi budinya sekali, Dato' Seri
Tidak pula kami dididik oleh bapa ibu kami
Agar segala budi itu sudah ada tentu tarikhnya bila harus kami balas

Kata bapaku yang telah pergi
Memberi biar ikhlas
Mengungkiti budi bukan bererti mengenang janji
Tambahnya lagi,
Apabila suatu hari kelak aku sudah pergi
Tidak aku perlukan apa-apa lagi darimu
Cumanya jadilah dirimu, dirimu anakku.
Balaslah budiku dengan budimu anakku.

Dato' Seri, bukan kami tidak mahu membalas budimu
Cumanya tidak perlu rasanya dipinta-pinta akannya.
Mengertilah mengapa kami bangkit
Bukan benci, tetapi
Terkadang kami anak marhaen terasa sakit
Dengan rejam batu-batu propagandis yang tidak habis-habis
Menghujam tubuh populis sehingga mengalir darah-darah reformis
Yang azam juangnya tidak akan pernah habis.

Mengertilah, para pemimpin.

Azrey
Kuala Lumpur
28 Julai 2012

1 comment:

[ AlexumaR ] said...

janji ditepati
masa untuk membalas budi.
undi aku lagi
aku tak habis mencuri lagi
poket kecil tak berganda

mmg semua ini tiada ikhlas
dari dulu mmg kami bg berkias
yg menerima asyik tutup mata
menerima dan terus memuja

moga kita sentiasa beringat.