Friday, August 29, 2008

The Jakarta Post

Assalamualaikum.

Agak sebulan jugalah tidak mengemaskini isi perut blog ini.

Dalam tempoh ini saya telah membaham beberapa mangkuk sup perut tanpa rasa bersalah.

Apa salahnya kan, dah nak masuk bulan Ramadhan ni. Jadi makanlah puas-puas. (nanti bulan Ramadhan, bukak puasa tiap2 malam makan puas-puas juga)

Sudah. Bukan mahu bercerita mengenai makan-makan. Tapi Nasi Goreng Gila dan Roti Bakar Pisang di Menteng sangat sedap dan mengghairahkan.

Bila lagi hendak ke sana ya.

Oh. Sudah. Sudah. Jangan cerita tentang makan-makan.

Ramai yang tak tahu tentang pemergian saya ke Jakarta minggu-minggu lalu.
(Tapi saya pasti semua orang pun tahu kakak saya pergi ke Jakarta kerana dia sudah publish gambar dengan banyaknya di Facebook)


Babak 1

Sampai-sampai malam itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, berangkat ke Sahid Jaya Hotel menaiki sebiji bas yang sangat hiba. Hiba Utama. Walaupun hiba, tapi bas ini rasa saya jauh lebih mewah jika hendak dibandingkan dengan basikal PDSKL atau Trans.

Nampak di depan mata suasana jalan raya berbelit-belit dengan kesesakan.

Di bawah flyover (yang tinggi menyamai tingkat 4 atau 5 sesebuah rumah pangsa) tersusun elok. Rapi bumbung-bumbung yang biasa saya nampak di Kampung Berembang atau Kg Datuk Harun. Setinggan.

Terus lagi bas memacu. Mata saya terhala ke arah tulisan-tulisan berlampu di hampir kesemua pencakar langit yang terdapat di kanan kiri jalan. DIRGAHAYU RI KE 63.

Oh. Lusa hari Kemerdekaan Republik Indonesia. Tanggal Merah. Begini suasananya.

Bendera merah putih penuh gah berkibar di tiang-tiang lampu jalan malah di warung beroda yang menjual Bakso.

Babak 2

Cadang-cadang dalam kepala nak juga buat kembara fotografi solo dalam siri lawatan ini. Tapi tak terkejar pula. Pergi serombongan. Ada majlis yang lebih penting. Tak apa. Lain kali saya datang lagi.

Tapi sempat jugalah lensa saya menghala ke arah beberapa subjek yang menarik.

Selesai persidangan antarabangsa, serta parti (bukan parti Keadilan Rakyat) 2 malam berturut-turut, tibalah masa untuk menjelajah segenap Kota Jakarta.
Nak ke mana-mana di Jakarta ni, ada dua jenis teksi saja yang boleh dipercayai. Saya tahu pun menerusi blog orang lain yang pernah pergi Jakarta.

Jadi sesiapa yang google 'teksi di jakarta' selepas ini, selamat datang ke blog saya.

Ada Blue Bird dan Silver Bird. Guna meter. Honda Accord. Tapi tak ada radio. Tayar macam Kancil pakai tayar spare. Tapi selesalah berbanding Air Asia. Err.

Berjalan-jalan sekitar Jakarta membuatkan saya belajar dan bersyukur. Jauh bezanya isi perut Tanah Abang dengan Grand Indonesia yang berlipat kali ganda lebih 'grand' daripada Pavilion.

Pernah makan di foodcourt dim lighting dengan latar muzik yang mengasyikkan?

Pernah lihat Lambo Gallardo tengah buat side parking depan entrance pusat membeli-belah?

Pernah lihat, sekumpulan cewek ala Dian Sastro atau Julie Estell berjinjit beg Coach keluar dari Toko Charles & Keith?

Pernah naik teksi, bila lampu isyarat merah ada tangan datang mengetuk menghulur-hulur tin berisi butir syiling. Dengan riak meminta-minta?

Atau melihat ibu yang menyusukan anak atas jalan berdebu dengan hingar-bingar hon Bajaj dan motorsikal.

Diantara dua darjat, masyarakat miskin dan kaya, ada saya yang memerhati.

Babak 3

Pagi itu di hotel buka siaran berita, Apa Khabar Indonesia?. Baca The Jakarta Post di cafe sambil bersarapan, liputan hangat tentang beregu emas Indonesia. Hadiah untuk kemerdekaan Republik Indonesia yang ke 63.

Ada juga berita tentang pingat perak yang dimenangi Malaysia. Dalam hati, selamat 1 juta kerajaan.

63 tahun sudah. Tapi seakan ada sesuatu yang masih mereka teriakkan. Masih terikat pada sesuatu yang saya sendiri pun kurang pasti.

Kita? 51 tahun? Kalau nak dibandingkan dengan mata fizikal, memang jauh kita lebih sempurna. Sekurang-kurangnya LRT atau komuter kita ada pintu yang ditutup.

Kamu-kamu yang suka bunyikan hon serta memaki hamun ketika sesak kereta di depan IJN, cuba kamu pergi ke Jakarta. Mungkin kamu akan kembali ke Malaysia- Tanjung Rambutan.

Kita bukan apa, cuma terlalu selesa. Di suap pelbagai rebat atau janji.

Bila harga minyak naik, bising tanpa usaha. Tidak pula kamu berusaha seperti mereka, sekurang-kurangnya mereka jual strawberry Bandung di kaki lima atau jadi tukang supir.

Bila harga minyak turun, ada harga barang turun?

Sudah. Nak pergi tengok BAJET 2009. Kalau-kalau ada peruntukan untuk kaki shopping yang tak pernah ada duit macam kita?

Sekian.

2 comments:

iXa said...

sokong je.

encikmasen said...

tak jeles langsung..tp tang awek ala-ala dian sastro tu ...

gwe jeles banget deh~!