Wednesday, April 23, 2008

Politik Itu Surat Khabar

Saya tak minat politik. Atau baca surat khabar.

Tapi kedua-duanya dah tersedia di depan mata saya.
Politik itu surat khabar. Penyebar fikiran rakyat.


Inilah peranan media-media yang cenderung dan mempunyai deria partisan yang sangat tinggi.
Tan Sri Muhammad Muhammad Taib kata BN Selangor kecundang kerana isu 'penyapu' yang dicanang media tidak lama dahulu, atau segala macam lagi analisa atau komentar-komentar berkenaan kekalahan BN atau tsunami politik di Malaysia. Banyak sangat. Di media baru atau lama. Ini baru betul rumah siap pahat berbunyi berdengtang dentung.

Harakah baru-baru ini mengeluarkan satu kenyataan berhubung kekerapan penerbitan akhbar tersebut. Dua kali seminggu atau lebih kerap lagi? Semuanya bergantung kepada kebenaran Kementerian Dalam Negeri.

Dari sudut pandangan saya sendiri, Harakah atau lain-lain akhbar partisan pro pembangkang hanya perlu meneruskan apa yang mereka telah lakukan selama ini. Kala penerbitan sedia ada sudah cukup memadai.

Orang putih atau orang Melayu berambut perang yang suka lepak di StarBucks sering berkata, "Less is more".

Kegelojohan parti komponen Barisan Nasional menghenjut kuda-kuda media arus perdana telah 'memakan tuan' bilamana BN gagal mempertahankan empayar majoriti dua per tiga dalam pilihan raya yang lalu.

Mengimbas kembali, selang dua atau tiga minit ada saja iklan kempen parti komponen ini. Selak akhbar, selang satu muka ada saja dacing-dacing yang memenuhi kolum iklan. Kalah iklan Hotlink... err atau iklan ON CINTA.

Mudahnya begini, muak atau tidak bila penonton/ pembaca disuap sendukkan dengan kempen dan janji manis BN setiap hari setiap masa dan setiap saat?

Nah, bayangkan saja bila satu hari nanti andai kata Pakatan Rakyat diberi veto mentadbir satu saluran media untuk rakyat. TV RAKYAT misalnya. Gejala yang sama tidak mustahil akan berlaku. PR tidak mustahil akan mencanang segala macam propaganda dengan meluas kepada rakyat sepertimana yang dilakukan BN suatu masa dahulu (dan sekarang) sehingga rakyat jemu, muak dan mampu membongkar pekung-pekung di dada propaganda.

Kalau setiap hari disuap senduk dengan nasi lemak dan nasi lemak dan nasi lemak, rakyat mula muak. Dan mencari alternatif lain, mungkin nasi kerabu yang kurang mendapat publisiti. Sedapnya jauh lebih nikmat berbanding nasi lemak yang sudah muak ditelan.

BN tewas kerana menguasai semua media-media utama. Tewas juga kerana mengabaikan satu media yang dilihat enteng dan tidak penting. Media baru. Internet.

Saban kali meng'refresh' laman Malaysiakini, Harakahdaily, ada sahaja beritanya. Sebaris dua pun memadai. Ada isu ada akar untuk berfikir.

Rakyat hari ini sudah tidak boleh duduk diam, menunggu apa agaknya muka hadapan akhbar esok, menunggu siaran berita selang jam atau pada lapan malam.

Disini jelas dapat dilihat kelemahan BN dalam menakluki media baru.
Sudah terhantuk, baru buka blog.

Kepada Pakatan Rakyat, media memang main peranan besar. Tetapi harus diingat, rakyat lebih berperanan dan lebih bijak menilai dan memuntahkan undi. PR menang besar bukan kerana sokongan rakyat besar dan tak berbelah bagi. Tapi muak dek gelagat propaganda kuda media arus perdana.

Selingan:

Lihat saja laman web agensi-agensi kerajaan, kementerian. Content Managernya perlu makan pagi, tengahari, makan petang dan pulang awal barangkali. Bulletin di laman utama berhabuk. Nama menteri baru pun ada yang belum ditukar ganti.

Walabagaimanapun, tahniah LHDN. e- Filing!

Thursday, April 10, 2008

Babi!

Assalamualaikum.



Bangun tidur.


Rasa lain macam melihat akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Pandang sekali lagi, betul Utusan Malaysia. Biru.


Ada gambar pemprotes di muka depan. Jarang sekali berlaku dalam sejarah.
Protes membantah Projek Mega Ternakan Babi di Tanjung Sepat, kata akhbar.


Bantahan di buat di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Bantah keputusan Exco Negeri.


Wah. Beraninya utusan. Bantah kerajaan pun jadi liputan?


Tampar pipi sebelah kiri, realiti.
Tampar pipi sebelah kanan, kenyataan.


Oh, lupa. Kerajaan dan bertukar tangan.


Pergi mandi.

Pergi mandi.

Wednesday, April 09, 2008

Bola Pengurut Yang Bergegar Apabila Dipicit

Assalamualaikum.
Apa khabar?

Semalam hari, saya telah menerima satu kiriman kotak berbungkus dengan pembalut stripe warna pink macam baju yang saya tak jadi beli di Tangs, Pavillion.

Sudah terang lagi bersuluh nama pengirim, seorang blogger popular dan sering mendapat banyak komen, Jazlin Ernida Zulkurnain (maka, lepas ni siapa yang google nama tersebut, singgahlah ke blog saya ya).

Kotak tersebut merupakan hadiah kemenangan saya (yang tak disangka-sangka) bersempena pertandingan My Birthday Giveaway Contest yang dianjurkan oleh blog yang popular dan banyak komen ini.

Terima kasih di ucapkan kepada tuan blog. Cadangan saya, untuk masa akan datang, perbanyakkan lagi Giveaway Contest bersempena hari-hari yang lain termasuklah hari jadi saya sendiri.

Oh, bercerita mengenai hadiah yang saya terima, sangat aneh dan unik. Sebiji bola yang bergegar. Err.

Roboball Massager. Bola pengurut. Eh, bola mengurut. Atau apa saja terjemahan yang bermakna selari.

Saya yakin ada sebab tersendiri bola pengurut tersebut diberikan kepada saya. Simbolik sungguh. Walaupun agak kabur nilai simbolikanya.

Apa- apa pun, terima kasih daun keladi. Saya tidak akan mempersia-siakan Bola Pengurut Yang Bergegar Apabila Dipicit ini. Akan saya manfaatkan bila saya memerlukan urutan. Erk.
Gambar diambil dalam White Room buatan tangan.