Friday, March 27, 2009

Kantor Mini Empat Sisi

Kantor Mini Empat Sisi

Petang itu,
Sesudah talqin dibaca
Sebelum tahlil bermula
Sengaja aku melabuhkan rasa dan nestapa
Di bangku kosong di kantor mininya.

Di kantor mini empat sisi ini,
Dahulunya dia bersama ensiklopedia
Juga mata penanya
Memula ilham, memerah rasa
Menukilkan madah untuk yang tercinta.

Di kantor mini empat sisi ini,
Terletaknya bangku kosong
Tempat dia memerhati isi dunia
Menggamit nostalgia masa
Atau mengurut kerut usia.

Kantor mini empat sisi ini,
Acapkali menjadi saksi
Sebelum hari bermula
Luahan jiwa seorang hamba
Yang mesra menadah redha.

Di kantor mini empat sisi ini,
Selalu dia memanggil pembantunya
Menaip surat-surat untuk sahabat
Katanya,
Komputer riba, bukan untuknya.
Kerana,
Dia lebih setia dengan pena hitamnya.

Tergantung di satu sisi kantor mini ini,
Sebuah potret tanpa warna
Sebuah bukti akar janji
Dia bersama rakan
Menimba ilmu serta pengalaman.

Tertegak disebelah bangku,
Sebatang tongkat
Dari sahabat untuk sahabat.
Tanda setianya mereka
Menemani hingga akhir nafasnya.

Kantor mini ini sebenarnya,
Hanya mini pada mata yang memerhati
Bukan pada hati yang selalu bersama.
Tidak pada masa-masa setia aku menemaninya.

Hari ini,
Kantor mini ini
Akan terus di sini.

Kosong.

Tanpa dia,
Seorang ketua,
Seorang sahabat,
Seorang pencinta,
Seorang bapa.
Kepada kami.

Azrie Izham Hamzah
‘Office Ayah’
1703 PM
27 Mac 2009

4 comments:

Anonymous said...

subhanALlah..

Unknown said...

huhuhu.. sedihnya baca ni.

nicely written, dik e.

jojie Oh! said...

sbr azrie.. kuatkan semangat..
aku pasti semangat uncle pon ade dgn kite..utk menempuh last sem dan hari2 kau nanti..sepertimana yg dia slalu tlg kite setiap sem..
pendapat, kemahiran, idea dan mcm2 lg..
uncle mmg terbaik :)
chaiyok!

Norafarhanis Rahman said...

penulisan abg azrie sgt baek!!!
sumpah!!
n sgt sedih!!
sgt merasainye.