Tuesday, November 10, 2009

Surat dari Seorang Ayah

Ayah seorang penulis yang hebat. Sangat hebat.

Ini ada satu, tulisan ayah. Baru terjumpa. Semasa selongkar laci lama;

Surat dari Seorang Ayah

Akhirnya dapat juga aku
Menjejak kaki ke menara gading
Lambang kemegahan ilmu ini
Tetapi bukan sebagai siswa
Kerana aku terlalu bebal
Tidak sepertimu

Betapa pada amatku
Remaja yang bergelar siswa
Bagaikan haus tapak kasutnya
Memburu masa yang kian meninggalkannya
Tidak seperti aku
Yang hanya leka dan terpaku

Buku- buku setebal Quran itu
Jika diserah padaku
Cuma boleh dibuat penggalas kepala
Untuk memejamkan mata
Yang celik tetapi buta ilmu

Aku cuma menumpang megah
Sebagai seorang ayah
Punya anak sepertimu
Yang dapat membawaku ke menara gading

Lalu pulangku dari gerbang ilmu itu
Menghitung-hitung harap
Untuk kembali lagi melihat
Bagaimanakah wajah ijazah
Kepingin benar aku.

HAMZAH M.
(khas untuk dideklamasikan oleh Azrie Izham H.)
Julai 1999

Kertas kekuningan berusia 10 tahun itu terlepas dari genggaman aku seketika waktu.

Ketika dulu, kapan tiba hari-hari pertandingan deklamasi, pasti ayah dedikasikan satu yang baru untuk ku. Ini salah satunya. Seperti biasa, aku juara. Kerana ayahlah mentornya.
Dulu hanya sekadar dulu. Aku mendeklamasi dan menghayati hanya untuk menang.

Hari ini setelah sekian lama
Tulisan-tulisan ayah tak pernah tewas di hati ini.

Besarnya wajah harapan ayah ketika waktu itu; UPSR pun belum aku duduki (ketika tulisan di atas ditulis)

Harapan untuk anak-anak ayah berjaya. Kan?

Perenggan terakhir buat aku tak senang. Sampai bergenang.

Insya Allah ayah. Dengan izinNya serta harapmu, bukan sekadar wajah ijazah.

1 comment:

jojie Oh! said...

bukan sekadar wajah ijazah..insyaallah..

sekali lg entri kau mampu buat aku menangis..
rindu plak kat gurau senda uncle..
=)
aku doakan yg terbaik utk kengkawan =)

bile dah berdiri tmpt yg tinggi, jgn lupe aku kat bawah nanti =)
all the best!