Friday, December 17, 2010

"Kantung Kak Limah milik Tayangan Unggul bukan aku" - Mamat Khalid


Saya tak pernah bikin filem atau tulis lakon layar.

Video klip atau filem pendek pernah rasanya. Itu pun untuk cukupkan credit hour nak habiskan pengajian dahulu.

Saya skeptikal terhadap mereka yang skeptikal terhadap filem tempatan. Saya sendiri skeptikal terhadap filem tempatan.

Saya masuk panggung yang full house baru- baru ini, dengan 1001 debaran. Debarannya tidaklah sehebat berdebar- debar menunggu saat filem 2 Alam ditayangkan untuk ummat 1Malaysia yang semuanya sumpah fanatik dengan ddR.

Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) pada ketika saat saya tonton sudah mengutip RM 400 ribu jualan tiket dua atau tiga hari ia ditayangkan.

Tambah tolak 100 minit, tak sedar pun pop corn telah lama habis. Tinggal kotak ringan dengan sedikit sisa. Lambat saya ambil masa untuk bangun dan menuju ke pintu yang telah ramai orang masuk untuk keluar.

Mamat Khalid. Abang Mamat. Kedua- dua nama ini biasa saya panggil semasa menemubualnya setahun dua yang lalu. Masa tu saya temubual Abang Mamat tentang latar belakang, matlamat beliau membikin filem dan itu ini lagi.

Hari ini saya seolah- olah melihat semua satu per satu jawapan serta persepsi Mamat terhadap hal bikin filem serta hala tuju pembikinan karya. Semuanya terpancar jelas dalam HKLBR.

Mamat Khalid bikin filem komedi bukan bodoh. Isi kandungannya serampang dua mata. Komedi untuk adik- adik yang sedang cuti sekolah terbahak- bahak dengan kekasih cinta monyet, atau mereka yang lebih dewasa pasti dapat membaca komedi- komedi 'gelap' yang diadun dengan sangat kemas.

Saya tak reti ulas filem, kritik filem atau yang sewaktu dengannya. Pak Hassan Mutallib lebih pakar. Nama Pak Hassan diselitkan secara halus dalam beberapa babak dalam HKLBR =)

Saya di sini cuma menyampah dengan segelintir rakyat Malaysia yang menolak mentah- mentah filem tempatan.

Inilah golongan skeptikal yang saya cakapkan tadi. Terlalu banyak tengok akademi fantasia atau nak 'urban' sikit, America's Next Top Model atau sebenarnya Spongebob Squarepants barangkali menjadikan mereka kuat 'mengkritik' tanpa ilmu atau sedikit pemerhatian atau pemikiran kritis.

Bagi golongan ini, apa yang di atas layar, itulah kesimpulannya.

Sanjung Pengaruh Luar

Wak Joko atau Bomoh Siam memang nampak macam orang bodoh dan babak itu bodoh. Itu kalau masuk pawagam sebab tunggu kawan nak pergi main boling atau sebab tiket Narnia sold out.

Comprak Chawatibesiwat watak bomoh siam, terkumat- kamit menyebut 'pelawok'.
Pelawok tu apa maksudnya, dalam bahasa pantai timur. Pelawok bererti 'kaki tipu' dan sewaktu dengannya.

Ini satu garapan kritikan sosial yang bijak oleh Mamat Khalid. Masyarakat pada hari ini, lebih menyanjung tinggi dan berbangga dengan kepakaran 'orang luar' bulat- bulat sehingga hilang jati diri dan kepercayaan terhadap akar budaya sendiri.

Macam inilah juga realiti kita masyarakat Melayu khususnya hari ini yang lebih teruja dengan industri filem luar (sekurang- kurangnya Indonesia). Pembohongan melampau secara terang- terangan Wak Joko yang ceritakan kepada para penduduk Kampung Pisang hanya disambut dengan wajah penuh teruja. Inilah masyarakat kita. Sudahnya, Wak Joko tewas dek tangan Hantu Kak Limah semudah ABC.

'English Edukesyen'

Usin baru balik dari Singapura atau Usop bekas penari kebudayaan yang tempang. Berbual sesama mereka pun mesti ada berselang dengan broken english yang sengaja digarap Mamat.
Usop yang lebih fasih berbahasa inggeris acapkali membetulkan penggunaan perkataan sesama rakan mereka. Wheel Chair boleh jadi 'Wheelca' dan banyak lagi.

Ini satu perlambangan tentang bagaimana masyarakat kita mudah menerima pengaruh dari luar secara bulat- bulat. Kalau orang luar guna 'brother' kita guna 'bero', 'you all' jadi 'uols' dan lain- lain lagi yang tidak saya nyatakan di sini. Layari Myspace untuk contoh- contoh lanjut.


Perak Darul Ridzuan

Mamat Khalid secara tidak langsung turut mempamerkan kelusuhan hatinya tentang kekacauan politik di Perak, negeri kelahirannya dan beberapa lagi tonggak utama dalam HKLBR. Saya terperasan bagaimana Mamat meletakkan dengan sangat cermat prop bendera negeri Perak yang disekalikan dengan kain lusuh yang buruk. Seburuk situasi melanda arena politik negeri Perak.

***

Ok lah, kalau bosan dengar berkenaan kritik sosial dan sebagainya, sekurang- kurangnya jangan nak tipu. Babak Usin, Pak Abu, Pak Jabit dan lain- lain yang lari lintang pukang sangat mencuit hati. Syot 'close up frontal view atau frontal POV' yang Mamat pilih memang sesuatu yang menjadi. Baharu dan menghiburkan. 'Cinta Kristal (Versi 'Memanchor') nyanyian Awie memang buat saya meremang.

Nah, apa lagi?

Kalau semua filem keluaran pembikin tempatan (Malaysia) dikatakan 'bodoh' atau karut dan tidak masuk akal, tiada satu pun. Semua bodoh, makanya siapa sebenarnya yang bodoh.
Si pembikin atau kita?

Mamat secara halus- halus dengan sarcastic tone dan comedy style nya yang tersendiri sebenarnya puas 'mensarkaskan' segenap ruang pemerhatiannya terhadap gejala politik, sosial dan jati diri masyarakat kita.

Kalau ini tidak dilihat sebagai filem yang berjaya, memang benarlah perlambangan Mamat bahawa orang kita hanya memandang 'kejayaan' dari segi material. Usin pulang dari Singapura dan bawak motor Harley Davidson. Itu berjaya bagi penduduk Kampung Pisang.

Bergambar disebelah kereta mewah sambil pegang kotak ubat kurus itu definisi berjaya barangkali?

Apa apa pun, syabas dan tahniah. Saya melihat kehadapan untuk menanti karya Mamat Khalid yang dikatakan 'lebih berat', Gangga Negara.

Sehingga saat pena ini diletakkan ditepi, jumlah kutipan HKLBR ketika ini adalah tambah tolak RM 3 juta. Tak sampai 40 juta pun lagi =(

2 comments:

Aqma Mustaza said...

sgt best!!!

KOrdi said...

kenapa mesti 40 juta?? ahaks!! ddr pon ade.. :-p