Tuesday, August 16, 2011

Membalas Warkah Seorang Ayah



Membalas Warkah Seorang Ayah

(Membalas nukilan ini)


Ayah,

Akhirnya,

Setelah sekian lama,

Aku balasi rangkap- rangkap warkah

Yang pernah engkau utuskan kepadaku

Tidak lama dahulu.


Maafkan aku kerana

Mengambil terlalu lama

Masa untuk mengarang

Kerana titis tinta dan segala isi baitnya

Adalah aku.


Sekalipun langkah kananku

Ke menara gading pada hari ini

Tidak seperti mereka

Yang mesra diapit wajah- wajah terindah

Selain mama,


Aku yakin benar

Engkau, jika bersamaku pada hari ini

Akan bersungguh- sungguh

Terlebih dahulu

Menggosok sepatu kulit ini

Sampai berkilat sinar

Secemerlang harapmu kepadaku.


Aku yakin benar

Engkau, jika bersamaku pada hari ini

Akan beria- ia memimpin

Bagasi ini sekalipun kudratmu tidak semampu mana.


Ayah,

Di atas nama kita yang tidak akan pernah berpisah

Aku berjanji untuk terus menggenggam erat

Apa yang tertulis di dalam warkah yang dahulu

Kerana di dalam setiapnya

Ada denyut nadi untuk semangat ini

Yang tidak akan pernah mati.



17 Julai 2011

ASWARA

1 comment: