Berbual dengan Pencuri Komputer Riba
Terima kasih kerana engkau sudi menyapa aku
Di Pasar Seni siang tadi
Dalam keramaian yang menyesakkan
Engkau tawarkan komputer riba lima belas inci
Separuh daripada harga asalnya.
Wahai pencuri komputer riba
Terima kasih kerana sudi menjadikan kota ini
Habitatmu yang paling selesa
Sekalipun lot kos rendah itu tidaklah semegah mana.
Engkau tidak pernah bersalah
Yang bersalah adalah remaja itu
Yang asyik bercumbu dengan kekasih baharu
Sehingga memberi ruang kepadamu untuk
Mengerjakan kewajipan sebagai ketua keluarga.
Engkau tidak pernah bersalah
Kerana yang bersalah itu adalah para kroni
Yang leka mengadu domba
Kepala yang katanya bermuka-muka
Sehingga memberi ruang kepadamu untuk
Mencari wang belanja untuk sang isteri
Membeli beras dan gula yang tidak tentu harganya.
Pernah seorang pelajar menangis
Dan merayu kepadamu agar komputer riba
Yang entah apa jenamanya itu dipulangkan
Kerana isi memorinya adalah nista-nista
Rakaman yang katanya suka-suka.
Kata pencuri ini,
Komputer-komputer riba yang dicuri
Punya harga untuk sebuah kehidupan
Yang hampir-hampir sahaja tiada harga.
Kota ini dan warganya semuanya sama sepertiku
Tiada seorang pun yang tertinggal daripada menjadi pelaku dosa
Biar Tuhan sahaja yang menghukum
Kerana Dia saja yang paling mengerti.
Katanya lagi.
Setelah kita sudah berbual,
Aku hanya melihat kau berlalu
Dalam ketergesaan, membawa bersama galas beg komputer riba ku!
Azrie Izham Hamzah
15 Disember 2011
Kuala Lumpur
1 comment:
Saya suka! kipap!
Post a Comment