Tuesday, December 27, 2011

SONGLAP: LARI DARIPADA TIPIKALITI



SONGLAP: LARI DARIPADA TIPIKALITI

Oleh: Azrie Izham Hamzah

“Ambil je lah, bukan halal pun” (Razak)

Saya tidak akan hairan kiranya Songlap tidak tercatat dalam carta box office filem tempatan. Ini bukan filem yang digemari khalayak kita. Tiada paparan wanita cantik di dalam poster promosi filem naskhah dan arahan pasangan suami isteri Effendee Mazlan dan Fariza Azlina ini. Tiada lagu-lagu tema pop ballads nyanyian artis-artis pemenang rancangan realti televisyen yang dijaja sebulan dua sebelum tayangan dan tempoh wajib tayang bermula. Naskhah Songlap berdiri dengan haluannya yang tersendiri.

Membuat keputusan untuk menonton Songlap sebenarnya merupakan satu pertaruhan 50-50 yang mungkin membuatkan saya kecewa sambil berjalan ke luar pawagam. Hakikatnya, 10 minit pertama penontonan sudah memberi penekanan naratif yang mengujakan. Nyata berbeza.

Lihat sahaja babak pertama di bawah jambatan di mana Ad (Syafie Naswip) memberikan bayi dan surat beranak palsu (tidak dinyatakan palsu) kepada pasangan suami isteri (lakonan Eizlan dan Lisdawati). Ad sebagai watak utama awal-awal lagi sudah membelakangi kamera yang memberi makna negativiti perilakunya ketika itu- memperdagangkan bayi. Ini bagi memperjelaskan penonton tentang beberapa kegiatan terlarang dalam norma sosial yang didedahkan sedikit demi sepanjang penontonan.

Banyak lagi kerja kotor yang dipaparkan di dalam Songlap. Semuanya tidak dilontarkan secara skrip ‘ala gerak khas’ (Contoh: Benar Tuan, kegiatan pelacuran ini harus dibendung…) tetapi sebaliknya visual yang lebih berkuasa untuk menerangkan. Mata penonton tidak boleh tertoleh memandang ke arah blackberry atau apa saja selain skrin di hadapan. Kerana peranan visual sangat penting dalam menyampaikan jalan cerita. Sebabak demi sebabak.

Am (Shaheizy Sam) memandang kerja-kerja kotornya sebagai sumber rezeki utama dia menyara kehidupan dia dan adiknya Ad. Am, selain menjadi agen penjualan bayi turut ‘melaburkan’ wang habuannya untuk berjudi namun tidak pernah berjaya dalam pertaruhan. Ini menyebabkan dia terbeban dengan hutang.

Nyata beban itu membawa Am untuk mendesak dirinya ‘menyonglap’ beg ketuanya, Pak Mat (Hasnol Rahmat) berisi sejumlah wang yang mati di bunuh semasa sedang berjudi.

Watak Ad awal-awal lagi sudah dijelaskan sebagai seorang yang mahu keluar daripada risiko melakukan kerja-kerja kotor. Kematian sahabat karibnya, Razak akibat ketagihan dadah menjadikan dia mahu keluar terus daripada dunia kerja-kerja kotor. Walaupun dia sedar, tidak semudah itu.

Hasrat Ad untuk memenangi RM 50,000 dalam pertandingan menari dimatikan dengan mudah dalam naskhah ini. Penulis berjaya lari daripada tipikaliti karya filem domestik yang rata-ratanya menjanjikan ‘kemenangan dalam pertandingan yang mengubah struktur dramatik’. Berhentilah berkhayal.

Pemikiran tipikal penonton sinema domestik juga pasti akan meneka-neka emak kepada Ad dan Am (Norma Damanhuri) yang menjadi pelacur akan menyesal dan bertaubat lantas membimbing anak-anaknya ke arah yang betul. Tetapi sekali lagi, pemikiran ini dinafikan dengan baik oleh penulis apabila pelacur (emaknya) keras hati dan menghalau Ad yang tidak punya wang untuk membayarnya sepatah kata Am kepada Ad, “Takkanlah jumpa mak sendiri pun kau nak kena bayar”.

Naluri seorang abang yang sentiasa melindungi adiknya membuatkan Ad berat hati untuk tidak membantu abangnya dalam kerja-kerja penjualan bayi. Tugas-tugas minor yang digalas Ad dalam membantu abangnya menjelaskan peranan Ad dalam membawa Am keluar dari kerja-kerja kotor. Ad yang mengemop lantai bilik Hawa (Sara Ali) merupakan tanda Ad berazam untuk membawa Hawa ke satu jalan yang bersih dan tidak terjebak dengan sindiket penjualan bayi.

Kemunculan Hawa serta niat murni Ad membantu Hawa sebenarnya membawa kepada perselisihan yang berpanjangan sehingga timbul konflik apabila Hawa dan bayinya dibawa Ad lari dari hospital yang bekerjasama dengan sindiket penjualan bayi ini.

Pertembungan Ad, Am dengan Hawa sebenarnya berpunca dan dipusatkan dengan gejala penzinaan dan kepincangan institusi kekeluargaan yang akhirnya menemukan mereka. Hawa yang dinodai bapanya sendiri, Pak Din (Omar Abdullah) dan Ad dan Am yang sebenarnya hilang tempat untuk bergantung harap di tengah-tengah kota raya.

Sekali lagi garapan dua pengarah ini menafikan tipikaliti ‘babak kejar bas’ yang biasanya diakhiri dengan ‘kejayaan’ tetapi akhirnya Am yang berlumuran darah ditinggalkan adik kesayangannya dan Hawa serta mungkin wang yang di’songlap’ Ad terlebih awal. Pengakhiran cerita yang mempamerkan Am membelakangi kamera dalam keadaan yang tidak stabil membawa makna Am akan terus menerus bergelumang di dalam gejala rutinnya. Atau memulakan satu penghidupan baru yang belum tentu arahnya. Di kota yang sama.

Kerja kamera, lakonan (termasuk pelakon sampingan dan tambahan), persembahan visual, susunan naratif, emosi serta permasalahan sosial yang ingin disampaikan melalui Songlap berjaya membuatkan penonton tidak sedar 100 minit penontonan telah pun tamat. (Kenyataan ini berkecuali, penonton yang tonton Songlap kerana terpaksa – tiket Ombak Rindu sold out mungkin menyatakan Songlap membosankan dan lebih baik pergi main boling pula lepas ni!)

Tahniah sekali lagi kepada pembikin naskhah serta penggarap sinematografi seluruhnya kerana memberi hadiah kepada fenomena sinema kita yang berombak sepanjang tahun 2011. Satu pengakhiran yang berjaya untuk tahun ini – Songlap!

No comments: