Thursday, November 03, 2011

Jadual Hujan Dari Tuhan

Jadual Hujan Dari Tuhan

Tiga petang

Langit terang benderang

Awan hampir- hampir saja hilang

Rembang masih membahang


Hujan petang di kota ini

Tiba- tiba datang

Acapkalinya jam lima petang

Musimnya tak pernah bermusim


Kalaulah Tuhan jadualkan bila hujan akan datang

Pasti senang

Kami berdua

Pergi becanda

Di taman bunga

Bila bila masa yang kami suka


Kalaulah Tuhan jadualkan bila hujan akan ke mari

Senang kerja kami kroni

Bikin kenduri sambut pak menteri

Tak perlu berkhemah tinggi berkaki- kaki

Bomoh hujan pun cuci tangan


Kalau hari ini hujan dari jam tiga hingga lima

Pukul enam boleh kita mula berpesta

Sampai langgar jalur senja


Kalau petang ini hujan lagi

Akan aku berlari ke dalamnya

Biar basah begini

kerana yang lain lari tiapkali kau tiba


Hujan adalah rahmat

Rahmat tidak punya jadual

Jadual itu penafian takdir

Takdir itu yang aku tunggu

Buat aku tertunggu-tunggu.

Azrey

1 November 2011

Kuala Lumpur

No comments: