Saturday, March 24, 2012

Hak Dan Perjuangan

Berbicara soal hak dan perjuangan, hidup kita adalah untuk meneruskan legasi hak dan perjuangan yang telah sedia dipertahankan oleh ayah dan ibu kita secara lumrahnya.

Saya lahir dalam sebuah famili yang ‘tidak boleh duduk diam, kalau ada hal yang tidak kena’. Untuk pelbagai hal, baik soal makanan, pakaian, pelajaran atau lain-lain. Ha, itu hak sebagai pengguna. Kita semua kan pengguna, rakyat, betul kan?

Dalam konteks penulisan saya yang ini, saya tertarik untuk menulis mengenai satu hal yang berlaku di sekolah seni dan persembahan tempat saya belajar hari ini. Hal baucar buku.

Alhamdulillah hidup yang pernah jatuh, datang sempurna dengan hikmah. Pengalaman di sekolah lama dahulu jauh lebih menyakitkan. Turun naik bangunan kementerian di Putrajaya dalam menuntut sebuah premis tempat belajar adalah kenangan serta pengalaman membuatkan saya mengerti dan faham sedikit sebanyak tentang prosedur dalam pengurusan pengajian tinggi. Pengalaman inilah yang mengajar saya apa pengertian hak dan sebuah perjuangan.

Beberapa langkah peribadi telah kami ambil untuk mendapatkan jawapan yang memuaskan hati tentang pengagihan baucar buku di sekolah.

Tindakan ini kami sifatkan sebagai rasional setelah gagal mendapatkan reaksi sewajarnya daripada pihak pengurusan sekolah. Segala hal berkenaan notis Kementerian Pengajian Tinggi, Garis Panduan, prosedur, terma dan syarat pengagihan telah diperinci oleh beberapa orang rakan secara verbal sebelum kami membuat pertanyaan serta tuntutan makluman rasmi.

Lebih kurang senang apabila maklumbalas pihak pengurusan sekolah seakan-akan mahu lepas tangan. Seakan-akan ya, seakan-akan.

Ada juga suara yang mengatakan bahawa sekolah kami tidak akan dapat baucar tersebut, baucar tersebut tak perlu, cukuplah dengan apa yang telah diberi oleh sekolah, 'manfaatkan perpustakaan lagi bagus' dan banyak lagi suara yang kami antara endah tak endahkan.

Sekali lagi saya tegaskan, ini memang soal hak.Dan tuntutan daripada ‘tiada’ kepada ‘nampak’ prosesnya didokong oleh keterangan bertulis Perkara 3 (f) Garis Panduan Pemberian Baucar Buku 1Malaysia serta lain-lain hal yang munasabah dengan revisi akta khusus sekolah dan prosedur saluran peruntukan antara kementerian.

Tidak dinafikan birokrasi adalah hal yang melecehkan dan akhirnya memudahkan semua. Tapi dalam hal ini, birokrasinya langsung tidak bermula malah tidak diminit dalam apa-apa jenis mesyuarat berkudapan sekalipun.

Akhirnya, alhamdulillah setelah kami yakin dan tidak pernah putus harap yang pelajar-pelajar sekolah ini akan dapat baucar yang ‘tidak seberapa’ kata sesetengah suara.

Baucar diagihkan.

Sekurang-kurangnya ada juga yang beratur awal-awal pagi lagi untuk mendapatkan baucar ini dengan senyuman manis yang dibibit rasa syukur.

Terima kasih pihak pengurusan sekolah kerana mendengar dan bekerja keras untuk hal ini, hak kami. Terima kasih untuk keprihatinan. Lambat atau cepat kami syukuri nikmat ini.

Paling tidak, boleh kami beli buku yang mungkin biasa hadir dalam mimpi-mimpi kecil kami sejak mendapat berita tentang baucar buku ini 7 Oktober 2011 yang lampau dalam sidang parlimen.

Hak dan perjuangan bukan untuk manusia yang ingin menjadi hero,tetapi untuk mereka yang berasa sakit dan tahu mengapa mereka harus bangkit. Bukan kerana nama, kuasa atau kepercayaan yang ingin diraih tetapi untuk meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya untuk manfaat bersama.

Untuk berjaya dalam sebarang bentuk perjuangan pun, yakinlah dan percaya.

Semua kerana Dia.

1 comment:

Nabila said...

Alhamdulilah. aku berterima kasih pada kau, kak ruby dan ena sebab sama sama prihatin dalam mewakili semua pelajar. aku sebenarnya sangat berharap tapi tak meletakkan harapan yang tinggi dan berita 2 hari lepas sangat mengejutkan dan aku akan gunakan baucar tu dekat sebaik baiknya. akhirnya dapat merasa macam pelajar institusi yg lain. :)